Sunday, June 13, 2010

LENGGANG PERUT SUATU WARISAN


Melenggang perut atau di sesetengah tempat digelar sebagai `kirim perut' menjadi suatu kebiasaan dalam masyarakat Melayu silam dalam usaha mereka mengenal pasti jantina bayi yang dikandung.
Upacara yang menjadi amalan `orang lama' ini biasanya dilakukan apabila tempoh kehamilan sudah menjangkau tujuh bulan dalam usaha memastikan kedudukan bayi berada di tempat sepatutnya dan mengelakkan kelahiran songsang yang mungkin akan memberi kesan terhadap ibu mahupun bayi.
Di sesetengah negeri, adat melenggang perut hanya membabitkan proses mengurut ibu yang hamil bagi memastikan kandungan mereka berada pada kedudukannya, manakala ada juga yang meneruskan tradisi penggunaan buah kepala bagi mengenal pasti jantina bayi.
Percampuran antara proses mengurut dan penggunaan buah kepala dalam penentuan jantina bayi ini menyebabkan sesetengah pihak melihatnya sebagai adat yang terpesong daripada kepercayaan agama Islam.
Ada juga yang melihat tradisi ini tidak perlu diteruskan memandangkan perkembangan sains dalam dunia moden membolehkan jantina bayi dikenal pasti dengan menggunakan ultrasound dan kebiasaan bacaannya tepat.
Pensyarah Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Dr Dr Hashim Awang, melihat adat melenggang perut sebagai persediaan awal bagi sesebuah keluarga untuk menerima kehadiran orang baru.
"Adat ini hanya dilakukan untuk kelahiran anak sulung dan ia satu keperluan sosial kepada ibu yang melenggang perut kerana beliau akan berasa lega dan tenang apabila mendapat perhatian daripada keluarga meskipun dalam keadaannya sebegitu," katanya pada pertemuan dengan Sastera di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Selain itu, adat terbabit dilakukan sebagai usaha untuk mengetahui jantina bayi yang dikandung dan majlis sebagai penyeri dan sekadar ritual bagi mengurangkan tekanan kepada ibu yang hamil, tanpa menafikan risiko bersalin hanya ditentukan Allah SWT.
"Amalan ini masih lagi dilakukan segelintir masyarakat dan apa salahnya ibu yang melalui adat ini diberi sokongan moral kerana ia episod penting dalam kehidupan bakal ibu dan bapa yang baru pertama kali melalui peristiwa bersejarah dalam hidup mereka," ujarnya.
Beliau berharap amalan melenggang perut diteruskan oleh masyarakat Melayu yang semakin melupakan adat resam mereka dan ia boleh dimanfaatkan sebagai medan untuk menguatkan hubungan kemasyarakatan yang semakin pudar ekoran tuntutan memenuhi keperluan hidup.
Bagaimanapun, Pensyarah Fakulti Pengajian Islam (FPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Zainab Ismail, menasihatkan bakal ibu untuk tidak meneruskan adat melenggang perut kerana ia boleh menjurus kepada khurafat dan syirik.
"Saya bimbang ia menjurus kepada khurafat dan syirik yang akan menyebabkan jatuhnya hukum haram. Bagaimanapun, sekiranya ia sekadar adat bagi melancarkan proses kelahiran bayi, Islam membenarkannya," jelasnya.
Beliau turut menolak tanggapan bahawa adat terbabit sebagai amalan bagi menghargai dan menenangkan ibu yang hamil kerana yang lebih terpapar ialah pembabitan bidan dan penggunaan buah kelapa untuk mengetahui jantina anak.
"Masyarakat dulu menggunakan kaedah ini bagi membantu bakal ibu mengetahui jantina anak mereka kerana ketika itu teknologi masih belum berkembang. Kini, ultrasound dapat membantu ibu mengetahui jantina anak dengan lebih tepat tanpa membabitkan akidah," katanya.
Justeru, beliau mencadangkan istilah melenggang perut ditukarkan kepada perkataan lain yang lebih sesuai bagi memastikan masyarakat memahami perbezaan di antara upacara yang haram dan sebaliknya, sekali gus memastikan proses kelahiran anak lebih berkat.
"Hasil kajian Fakulti Pengajian Islam UKM terhadap mahasiswa universiti ini, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Malaya (UM), menunjukkan 75.3 peratus tidak bersetuju dengan adat melenggang perut," jelasnya.

Source: Berita Harian
Date: 09/07/2009
Page Number: 21
Byline: Rashiqah Ilmi Abd Rahim; Hasnidarwina Hasim
Column Name: Warna kehidupan

No comments: